Thursday, February 18, 2010

Lagi Bekas Timb.Menteri Menyertai Pakatan


TAMPARULI, 18 Feb: Bekas Timbalan Menteri Buruh, Datuk Kalakau Untol mengumumkan perletakan jawatannya dalam semua anak-anak syarikat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menyertai Pakatan Rakyat.

Langkah ini dibuat kerana tidak berpuashati dengan pucuk pimpinan negara dan sebilangan pemimpin Persekutuan yang tidak begitu serius dan komited dengan saranan dan tuntutan-tuntutan para pemimpin dari Sabah.

Beliau mengumumkan pelepasan jawatan sebagai Pengerusi Superpanel (Sabah) Sdn Bhd, sebuah subsidiari milik penuh Lembaga Pembangunan Perumahan Bandar (LPPB) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco), di dalam satu sidang akhbar di sini.

Kalakau, 55, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Buruh pada tahun 1986 hingga 1990 dan merupakan Ketua Pemuda Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) negeri selama 12 tahun sejak 1985.

Beliau mengumumkan juga keputusannya untuk melibatkan diri dan menyokong dasar-dasar Pakatan Rakyat, seterusnya membantu mereka menyebarkan penjelasan ke seluruh negeri Sabah dalam usaha merakyatkan dasar Pakatan Rakyat untuk mendepani pilihan raya umum ke-13.

Kalakau menjelaskan walaupun pemimpin-pemimpin dari Sabah dari dulu sehingga sekarang telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan hak-hak negeri Sabah, namun pucuk pimpinan negaratidak serius.

Wednesday, February 17, 2010

Dato Presiden Menyelamatkan Mangsa Lemas

Bukan sahaja menyelamatkan aqidah umat tetapi sudah sampai kepada menyelamatkan nyawa manusia. Itulah yang dilakukan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama keluarganya apabila menyelamatkan nyawa seorang yang lemas di Pantai Rusila berhampiran rumahnya.
(Gambar atas: Abdul Hadi keletihan selepas menyelamatkan mangsa lemas)

Ia berlaku pada 14 Februari lalu kira-kira jam 6.30 petang di Pantai Rusila, Marang iaitu berhampiran dengan rumahnya."Hari itu, lepas solat Asar, Tok Guru pergi mengail di pantai depan rumahnya. Tiba-tiba dia tengok orang sedang terkapai-kapai lemas. Dia terus suruh anaknya terjun ke laut dan dia bersama-sama menarik orang itu," cerita Haji Omar, Pengerusi Masjid Rusila, yang terletak di sebelah rumah Abdul Hadi.Mangsa yang dikenali sebagai Pak Mat Jaga, kata Haji Omar, adalah penduduk Kampung Belubor, iaitu kampung berhampiran pantai Rusila itu.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Abdul Hadi bersama dengan anaknya iaitu Abdul Rahman dan Khalil serta menantunya Zaharudin sedang memancing di pantai itu.Mereka berkumpul sambil memancing sementara menunggu untuk menyembelih kambing untuk aqiqah cucu Abdul Hadi.Tiba-tiba mereka mendengar seorang wanita berteriak 'orang lemas...orang lemas' sambil menunjukkan tangannya ke laut.

Menurut Abdul Rahman, 28, anak Abdul Hadi, ayahnya terus menyuruh beliau terjun ke laut dan menyelamatkan mangsa lemas itu."Saya terus ambil pelampung dan terjun ke dalam laut...saya cuba campakkan pelampung itu kepadanya tetapi tidak berjaya kerana ombak besar pada ketika itu. Saya kemudian tarik tangan beliau. Abang Khalil dan Zaharudin datang membantu dan menyeret ke pantai."Ayah kemudian turun ke dalam air bersama-sama kami memapah mangsa itu ke pantai," cerita Abdul Rahman kepada Harakahdaily.

Seorang penduduk tempatan yang kebetulan ada di situ telah merakamkan gambar keadaan Abdul Hadi bersama mangsa yang diselamatkannya dan memasukkannya dalam facebook beliau. Gambar itu kemudiannya tersebar ke marata-rata.Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Herman Shamsuddeen membuat catatan berikut dalam blognya:"Dalam usia 63 tahun, Presiden PAS Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang masih gagah dan pantas untuk menyelamatkan seorang pengunjung yang lemas di Pantai Rusila, Marang.


Kejadian berlaku pada hari Ahad, 14 Februari baru-baru ini.Pada saya, beliau adalah seorang ulama’ yang segani, pemimpin yang dihormati, dan hero yang tidak perlukan undangan atau dipuja…Kehidupan beliau amat sederhana, rutinnya tidak jauh berbeza seperti rakyat biasa. Memang suka berdamping dengan rakyat."Semoga Allah panjangkan usia beliau dan merahmati kepimpinannya."Zaihan Daud, Setiausaha Peribadi Abdul Hadi juga mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, mangsa lemas yang diselamatkan itu, Ahamad Mat Zin, 58, (Gambar) bersyukur kepada Allah dan terima kasih kepada Presiden PAS dan keluarga yang telah berusaha membantunya.

Menurutnya, pada mulanya dia mandi di kawasan biasa tetapi tiba-tiba dipukul ombak besar.
Beliau menjangkakan sekiranya tidak diselamatkan dalam tempoh 10 minit selepas diberi bantuan oleh keluarga Presiden PAS itu, mungkin sesuatu yang buruk berlaku kepadanya kerana sudah tidak bermaya lagi.
(Dipetik daripada http://harakahdaily.net)

Monday, February 15, 2010

Berarak maulud tapi rasuah, tolak sunnah Nabi

KUALA LUMPUR, 15 Feb: Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kemudian menolak apa yang diperintahkannya, rasuah, sapu duit rakyat dan salahguna kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. "Bagi saya, tak berarak tidaklah berdosa. Apa erti kalau berarak dan berselawat ke atas Nabi kemudian tolak apa yang Nabi suruh? Apa guna kita berarak dan berselawat tapi tak hayati sunnah Nabi?" soal beliau.


Dengan merujuk kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendedahkan Umno sudah jadi parti perasuah, beliau juga mengecam Umno yang berarak, berselawat kemudian rasuah.
"(Lagi) selawat lagi sapu duit rakyat. Berarak berselawat kemudian salah guna kuasa," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.


Beliau menyifatkan, itulah nilai perarakan maulud dan selawat ke atas Nabi bagi Umno.
"Berarak berselawat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jumpa duit tunai berjuta milik setiausaha politik menteri. Itu baru setiausaha politik, belum lagi menteri.
"Guna agama untuk kepentingan politik.


Mungkin kerana tahun harimau, Umno mengganas sehingga hari keputeraan Nabi pun dijadikan dagangan politik murahan mereka," katanya.
Beliau menyifatkan sikap Umno yang membesar-besar dakwaan palsu kononnya kerajaan Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul sebagai perbuatan menghalalkan cara.
"Matlamat Umno nak kucar-kacirkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan menimbulkan suasana yang boleh membawa kepada keadaan huru-hara walaupun sampai kepada pertumpahan darah.
"Yang penting bagi Umno untuk dapat kembali kuasa. Inilah perangai orang gila talak," katanya.
Padahal, kata Mahfuz, di Kedah perarakan maulud telah dibatalkan sejak zaman regim Umno memerintah lagi.


"Tak ada pula Tun Abdullah Badawi persoalkan Datuk Seri Mahadzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah kenapa dia batalkan perarakan maulud. Banyak lagi negeri negeri lain di bawah regim Umno tak berarak pun.
"Kenapa media arus perdana tak persoalkan? Nampak makin jelas media jadi ketuloi (barua) Umno," katanya.


Beliau menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia supaya menjauhkan dari bahaya Umno dan Barisan Nasional demi keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara.