Sunday, March 28, 2010

Mursyidul Dan Timbalan Mursyidul Kekal

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (PIC) dan Datuk Dr Haron Din mengekalkan jawatan mereka masing-masing sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am PAS untuk tempoh lima tahun dari 2010 hingga 2015.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat kedua Majlis Syura untuk sesi ini yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata, pemilihan semula Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana kelayakannya dan tidak mahu Mursyidul Am PAS itu bersara dari perjuangan.

"Ramai yang layak, tetapi kita anggap beliau yang lebih layak dari orang lain kerana dalam budaya perjuangan Islam tiada persaraan dalam perjuangan.

"Kita tidak mahu tok guru kita bersara dari perjuangan," katanya pada sidang media memaklumkan keputusan tersebut di parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media tersebut, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Mengulas lanjut beliau berkata, keuzuran Tuan Guru Nik Aziz bukan masalah besar kerana beliau akan dibantu ahli mesyuarat yang lain.

"Keuzuran beliau boleh dibantu ahli-ahli yang lain kerana keputusan majlis syura bukan individualistik tetapi dibuat secara kolektif," tambahnya lagi.

Selain mereka berdua, turut dilantik ke dalam Majlis Syura dalam mesyuarat mereka yang pertama adalah Datuk Seri Azizan Razak, Ustaz Hashim Jasin dan Ustaz Hassan Syukri.

Kelima-lima mereka dilantik sebagai ahli Majlis Syura dalam mesyuarat pertama mereka minggu lepas. Mesyuarat hari ini membuat perlantikan untuk dua jawatan utama iaitu Mursyidul Am dan timbalannya.

Selain mereka ahli Majlis Syura adalah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (mewakili Jawatankuasa PAS Pusat).

Mewakili Dewan Ulamak adalah Datuk Harun Taib, Datuk Ahmad Yaakub, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ustaz Nik Mohd Zawawi Salleh, mewakili Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ustaz Zaharudin Mohamad dan dua wakil Dewan Muslimat yang nama mereka belum diperolehi.

Ditanya berhubung kenyataan Tuan Guru Nik Aziz semalam yang bersedia berundur, Abdul Hadi berkata ianya menunjukkan sikapnya yang tinggi akhlaknya sesuai dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya untuk tidak meminta jawatan.

"Itu satu moral yang tinggi yang sangat kami hargai. Memang kita dalam Islam diajar tidak meminta jawatan, tidak berebut jawatan dan Islam mengajar orang yang tidak meminta jawatan itu yang layak kita lantik," jelasnya lagi.

Sesi baru Majlis Syura bermula dengan mesyuarat pertama mereka minggu lalu. Dalam mesyuarat di kalangan 12 anggota yang telah dilantik oleh AJK PAS Pusat (4), Dewan Ulama (4), Dewan Pemuda (2) dan Dewan Muslimat (2) itu, lima anggota tambahan dilantik.

Majlis Syura adalah badan tertinggi dalam PAS. Mengikut pindaan terbaru Perlembagaan PAS, anggotanya menjadi 17 orang berbanding 12 sebelum ini dan tempoh sepenggal dipanjangkan dari tiga tahun ke lima tahun.

Saturday, March 13, 2010

PRESTASI KERAJAAN NEGERI PAKATAN RAKYAT LEBIH BAIK

SEBERANG JAYA, 13 Mac: Rakyat digesa memandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat untuk memajukan negara kerana empat buah negeri yang diterajui selepas menang pada pilihan raya umum lalu menunjukkan prestasi dan mampu melakukan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegasnya, BN nampak sahaja selesa mentadbir tetapi sebaliknya diseliputi keresahan dalaman apabila berbagai isu melanda.

"Rakyat kena pandang ke hadapan bersama Pakatan Rakyat, usah lagi bersama BN yang nyata lemah dalam pentadbiran. Nampak saja selesa tapi penuh dengan resah dan musibah, " terangnya dengan diiringi laungan reformasi dan Allahu Akbar.

Menurutnya, pilihan raya umum yang dijangkakan berlaku dua tahun lagi memerlukan perubahan yang lebih luas supaya Pakatan Rakyat tidak lagi menjadi pembangkang.

Namun, katanya bagi memastikan kuasa BN mantap, mereka akan berusaha melaksanakan program pendekatan seiras dengan apa yang dibuat menerusi Pakatan Rakyat kerana pendekatan BN yang lalu tidak lagi releven dan menjadi bahan ditertawakan rakyat.

Sehubungan itu, tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, BN sepatutnya akur dengan kehendak rakyat yang telah menyatakan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat di setiap pilihanr aya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009.

"Prestasi Pakatan Rakyat memang tinggi pada masa ini manakala nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini menjunam teruk. Itulah yang menggerunkan Umno dan BN, " jelasnya.

Justeru, beliau meminta rakyat melihat apa yang terjadi kepada kes Altantuya, pembelian kapal selam, kehilangan enjin jet, gejala rasuah, masalah dadah, moral remaja dan seumpamanya yang semua tidak dapat diselesaikan oleh pemerintahan BN.

Menurutnya, kepimpinan BN yang ada hanya pandai bercakap tetapi tidak pula bijak bagi menanganinya dengan baik kerana mereka lebih gemar bersandiwara, suka menipu dan bercakap bohong.

“Maka, rakyat yang mempunyai kuasa mutlak kena bekerja untuk menghindarkan BN daripada terus menjahanamkan negara ini.

"Jika rakyat tidak mahu melihat negara ini hancur ekoran ketidakcekapan pemerintahan, tiada jalan lain mereka hanya perlu memangkah parti dalam gabungan Pakatan Rakyat di samping berdoa mengikut agama masing-masing. Mudah-mudahan apa yang terjadi dapat diselamatkan," katanya lagi.

Isu Zulkifli Nordin : ULAMA Pas sokong beliau ???

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zukifli Noordin diminta menjelaskan siapakah ulama PAS yang dikatakan menyokongnya ekoran dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Setahu saya, hanya Ustaz Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling) dan saya sahaja yang rapat dan selalu membela beliau. Sejak petisyen terhadapnya ditarik balik oleh calon Umno/BN, dia tidak lagi berhubung dengan saya.

“Apabila saya hubungi Ustaz Taib, dia pun beritahu hal yang sama. Jadi siapa sebenarnya ulama PAS yang sokong beliau lagi,” kata bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang (gambar) kepada Harakahdaily.

Dalam satu kenyataan media, Zulkifli berkata, beliau mendapat sokongan penuh daripada ulama PAS.

“Saya tertanya-tanya siapakah ulama PAS itu,” ujar Ahmad lagi yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak.

Sebelum ini, satu media elektronik melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sedia mempertimbangkan Zulkifli menyertai parti itu.

Namun dalam kenyataan kepada Harakahdaily sebagai menjelaskan laporan itu, beliau memberitahu apa yang dinyatakan itu adalah dasar terbuka PAS.

Begitupun, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang yakin PAS tidak akan menerima Zulkifli sebagai ahli.

BANTAH HINA NABI S.A.W

KUALA LUMPUR, 13 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengajak seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Sejuta Ummah di hadapan Kedutaan Sweden pada Jumaat, 19 Mac ini.

Himpunan itu dirancang sebagai menunjukkan bantahan terhadap tindakan terbaru beberapa akhbar di Sweden yang menyiarkan lakaran menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Bercakap dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut tengah hari ini, ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pada tarikh itu, pihaknya akan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung perkara itu kepada pihak Kedutaan Sweden.

Mereka akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak dan kemudiannya berarak ke Kedutaan Sweden.

"Pemuda akan turun beramai-ramai di Kedutaan Sweden 19 Mac ini bagi menunjukkan bantahan kita terhadap pelukis dan akhbar mereka yang telah menghina Rasulullah s.a.w.

"Saya menyeru dan mengajak seluruh umat Islam yang prihatin agar turun bersama-sama kami bagi menzahirkan bantahan kita terhadap penghinaan yang dilakukan terhadap Rasul kita," katanya.

Pelukis Sweden, Lars Vilks melukis kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w. dengan membuat membuat lakaran tubuh Rasulullah s.a.w. seperti anjing dan disiarkan oleh akhbar Dagens Nyheter, Expressen serta Sydsvenska Dagbladet.

Rang Undang GST ditangguh : Satu Kemenangan Rakyat

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan serta-merta bacaan rang undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk kali yang kedua di Dewan Rakyat yang bermula Isnin ini adalah suatu kejayaan bersama rakyat, PAS dan Pakatan Rakyat.

“Ini suatu kejayaan bersama PAS serta Pakatan Rakyat kerana berpadu menjelaskan kepada rakyat tentang akibat perlaksanaan GST ini kepada rakyat,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika menghubungi Harakahdaily petang tadi.

Bagi beliau, perhargaan perlu dirakamkan juga kepada Lajnah Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat kerana lajnah tersebut menganjurkan suatu sidang bulat di peringkat dalaman parti sehingga PAS membuat ketetapan yang begitu jelas berhubung sistem cukai tersebut.

“Disebabkan suatu sidang meja bulat (oleh) Lajnah Pengguna di peringkat parti inilah, kita berpendirian GST ini perlu ditolak kerana urus tadbir kewangan oleh Umno/BN pincang, bukan disebabkan sistem GST itu sendiri,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menganggap pengumuman yang dibuat Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu, membuktikan bahawa usaha-usaha bersama PAS dan Pakatan Rakyat banyak memberi impak kesedarangan dalam kalangan rakyat.

Disebabkan itu, beliau berkata, Ahmad Husni tidak perlu mencipta alasan kononnya kerajaan menangguhkan niat bacaan rang undang-undang GST untuk kali yang kedua itu demi mendapatkan lebih banyak pandangan awam daripada rakyat kebanyakan.

“Kalau nak dapat pandangan awam, tidak perlu menunggu sekarang, sepatutnya sebelum GST dibawa (ke Dewan Rakyat) untuk bacaan pertama lagi, kerajaan khususnya Husni sendiri perlu benar-benar mendapat pandangan awam yang tepat.

“Saya kira, Husni dan kerajaan mencipta alasan ini mungkin untuk menutup kelemahan dalam perancangan GST ini sendiri atau tidak pernah serius berkerja sebagai sebuah Kerajaan atau mungkin tak sanggup berdepan dengan demontrasi anti GST pada Isnin depan,” katanya.

Pun begitu, beliau berkata, penangguhan seperti yang diumumkan oleh Husni itu adalah bersifat sementara demi meredakan kebangkitan rakyat.

Sedangkan, beliau berkata, kerajaan sepatutnya membatalkan terus hasrat melaksanakan GST di Malaysia kerana sistem cukai itu ternyata membebankan rakyat.

Ekoran itu, beliau meminta seluruh kepemimpinan Pakatan Rakyat serta PAS sendiri terus memperkasakan aktiviti penerangan kepada rakyat tentang impak GST tersebut.

Ini kerana, menurut Mahfuz, kerajaan mungkin tidak melaksanakan GST dalam masa terdekat, tetapi kerajaan dijangka tetap akan melaksanakannya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.

“Mungkin GST tidak dilaksanakan sekarang kerana kedudukan Umno/BN di parlimen dan negeri agak tidak kukuh, tetapi selepas PRU13 pada 2011 atau 2012 kelak, Umno/BN tetap akan melaksanakannya jika mereka kembali kuat di Parlimen dengan menipu rakyat bermula hari ini,” beliau menambah.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mohd Hatta Ramli (gambar kanan) selaku jurucakap bagi Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak dan Barangan (Protes) yang dihubungi kemudian berkata, jawatankuasanya akan membuat ketetapan malam ini sama ada untuk meneruskan atau tidak demontrasi bantah GST pada Isnin jam 9 pagi di perkarangan Parlimen.

Bagaimana pun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai secara peribadi berkata, pendirian Protes bukannya menuntut kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST, sebaliknya membatalkan serta-merta hasrat untuk melaksanakan GST kerana ternyata membebankan rakyat itu.